Khamis, 21 Julai 2011

Malam tadi(21 julai 2011) PAS Kawasan Bruas, Perak telah mengadakan ceramah di Kg Kota. Ceramah terpaksa di pindahkan di rumah Raja Rozlan ekoran gangguan dari pihak polis yang tidak mengeluarkan permit. Saya bersama YB Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin, Dato' Ngeh Ko Ham dan Dr Khairudin Abd Malik antara yang memberi ucapan. Isu bersih, tanah, rampasan kuasa di Perak dan buku jingga menjadi topik utama. Seronoknya; apabila saya dipertemukan dengan bekas Yang Di Pertua PAS Kawasan Bruas berusia 86 tahun tetapi masih sihat!


Khamis, 2 Disember 2010

20 ADUAN PENEROKA FELDA/GENERASI KEDUA (FASA 1)




1. Pada 30 November 2009 yang lalu YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Hj Abd Ghani Othman telah menyerahkan hakmilik tapak rumah untuk 548 orang generasi kedua Felda Bukit Ramun, Felda Bukit Besar, Felda Sg Sayong dan Felda Pasir Raja. Majlis tersebut di adakan bersekali dengan perasmian Bangunan Semai Bakti Felda Bukit Ramun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hj Ahmad Maslan yang turut hadir dan berucap telah menyatakan komitmen peruntukan berjumlah RM15 juta untuk memulakan projek perumahan generasi kedua Felda Bukit Ramun. Setahun berlalu, kawasan berkenaan telah semak samun dan tiada tanda-tanda untuk dimajukan seperti yang dijanjikan.

2. Seorang peneroka beralamat no 257 blok 11, Felda Palong 6, Gemas Negeri Sembilan; En Mathevan A/L Raman, Kad Pengenalan 451110-05-5049 menyertai Felda nov 1980 dengan tanaman getah. Ketika tanam semula bulan Mei 2004 beliau menyertai insentif bantuan Risda. Atas nasihat anak-anak untuk mudah usahakan kebun, beliau kembali bersama Felda pada bulan Oktober 2004. Permohonan beliau kepada Risda untuk mendapatkan insentif tanam semula gagal atas alasan telah menukar tanaman daripada getah kepada kelapa sawit dan melalui Felda.

3. Seorang peneroka, En Sin Kong Keong, No 121-D, Felda Lui Muda Jempol Negeri Sembilan; telah mengusahakan kawasan paya peringkat 4, dalam rezab Felda seluas 6 ekar dengan tanaman tebu dan koko mulai tahun 1984. Bermula Februari 2006, beliau menukar tanaman kepada kelapa sawit sekitar 300 pokok. Malangnya pada bulan jun tahun 2006, Felda telah memusnahkan tanaman beliau atas alasan untuk dimajukan. Persoalannya kenapa 30 orang lagi peneroka melayu yang turut mengusahakan kawasan tersebut tidak dimusnahkan sama. Beliau mempersoalkan adakah ini diskriminasi kaum?

4. Peneroka Felda Lawin Selatan, Lenggong Perak tidak berpuashati kerana bayaran kayu getah yang diterima hanya RM23,000 sahaja(dinaikkan lagi RM2,000 bila pendedahan dibuat menerusi media) sedangkan peneroka Felda Lawin Utara dapat RM40,000 dan Felda Papulut dapat RM38,000 dengan keluasan sama 10 ekar dan berhampiran antara satu sama lain.

Peneroka Felda Lawin Selatan juga mempersoalkan:-

4.1 Paksaan tandatangan satu slip untuk menerima wang penjualan kayu

getah tanpa sebarang perjanjian dan perbincangan kedua belah pihak,

4.2 Tiada sebarang Surat Perjanjian Jualbeli kayu getah tersebut antara

peneroka dan kontraktor,

4.3 Pihak kontraktor meneruskan kerja penebangan pokok getah sedangkan

segala isu berhubung harga kayu getah dan persetujuan perjanjian belum

selesai.

5. En Harun bin Md Nor, peneroka Felda Palong 4, Negeri Sembilan menerima Penyata Untungrugi sehingga 31 Mac 2010 yang memaparkan hutang beliau untuk tempoh tanam semula selama 7 tahun berjumlah RM19,319.39 sehektar atau RM7,818 seekar(RM78,180 sepuluh ekar). Hutang yang di catatkan begitu tinggi dan tidak munasabah.

Lebih pelik, beliau sepatutnya menerima lebihan baja berjumlah RM979.26 tetapi surat daripada En Mohd Nor Kailany, Pengarah Pertanian Felda bertarikh 24 Julai 2008 menyatakan beliau mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM3,292.95. Penyata Bayaran Kembali/Tanam Semula/CAC/Jun 2001 En Haron jelas membuktikan segala hutang telah selesai.

6. Projek Tanam Semula Kelapa Sawit di Felda Ciku 1 dan Felda Perasu Gua Musang telah dilaksanakan lebih setahun yang lalu. Hasil tinjauan ANAK bersama beberapa orang peneroka pada 2 November 2010 lalu mendapati keadaannya begitu semak. Anak-anak kayu dan lalang lebih tinggi daripada anak pokok sawit yang di tanam. Terdapat juga kawasan yang belum disulam anak sawit baru setelah dimusnahkan babi hutan atau perosak lain. Tuduhan yang mengatakan kebun peneroka yang diusahakan sendiri seperti hutan; hakikatnya berlaku atas kebun selenggaraan Felda!

Penjelasan yang diberikan oleh Pengurus dan pegawai di Felda terbabit amat tidak meyakinkan. Kerugian daripada kecuaian pengurusan Felda pastinya akan menambah hutang para peneroka.

7. Felda Lurah Bilut, Bentong Pahang adalah Felda tertua di Malaysia yang dibuka pada tahun 1958. Mempunyai seramai 608 peneroka pelbagai kaum. Mereka telah lama memohon hakmilik tambahan tanah 3 ekar yang mula diusahakan tahun 1973 bagi mencukupkan 10 ekar setiap peneroka.

Bayaran kembali dan CAC telah selesai sejak tahun 1987 dan tanam semula telah dibuat mulai tahun 2000. Sehingga kini ternanti-nanti bila hakmilik akan diperolehi sedangkan peneroka asal yang masih hidup tinggal 10% sahaja.

8. Seramai 42 orang peneroka di Felda Nitar 2, Mersing Johor telah mengusahakan tanah paya sejak beberapa tahun yang lalu. Kawasan tersebut terbiar begitu lama kerana dianggap tidak ekonomik dan memerlukan kos yang amat tinggi untuk dimajukan. Peneroka terbabit telah membuat permohonan kepada pengurusan Felda untuk mengusahakan tanaman sawit selain pisang dan menternak ikan keli sebagai pendapatan sampingan agar tidak perlu ke luar rancangan.

Peneroka berkenaan mengeluarkan belanja sendiri untuk membersihkan belukar dan memperbaiki system perparitan sehingga kawasan paya berkenaan boleh digunakan untuk aktiviti tanaman. Felda telah memutuskan mengambil kawasan berkenaan meskipun rayuan kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri(ketika itu Datuk Hassan Malik), Tan Sri Yusof Nor, Datuk Ahmad Maslan(4 Ogos 2009) dan Pengarah Pertanian Felda telah dibuat.

Apabila kerja-kerja Tanam Semula dilakukan merangkumi lot ladang dan kawasan paya berkenaan, tanaman sawit yang diusahakan dan telah berusia 2-3 tahun telah dimusnahkan.

9. Akaun baja semasa seorang peneroka, En Abd Rahman bin Hamat No Kad Pengenalan 610710-011-5215 dari Felda Tersat, Hulu Terengganu hingga Februari tahun 2008 ada lebihan RM93.67. Penolong Pengarah Kewangan Felda, En Haniff Ahmad Norilah dalam surat bertarikh 16 April 2008 kepada Pengurus Felda Tersat telah membatalkan isu adanya lebihan baja berkenaan.

Penyata Pendapatan En Abd Rahman yang diterima pada bulan Januari 2009 menyatakan berlaku tunggakan berjumlah RM6,254.66. Adalah sangat mencurigakan bagaimana kiraan dibuat daripada lebihan pada mulanya kepada tunggakan.

10. Peneroka Felda Kemendor, Jasin, Melaka memohon agar kontrak penghantaran Buah Tandan Segar ke Golden Horse Plantation Sdn Bhd yang kontraknya tamat 31 Julai 2010 dipindahkan ke kilang Nam Bee. Pusat Timbangan(mengumpul BTS) bagi kilang Nam Bee terletak di Felda Bukit Senggeh.

Pengerusi Koperasi Felda Kemendor, Hj Redwan Sentol mendakwa berlaku penipuan timbangan melalui Pusat Mengumpul Hasil Sawit yang dikendalikan Karier Mesra Sdn Bhd(bagi pihak Golden Horse) dan telah diadukan kepada Timbalan Pengarah Besar Felda dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Melaka. Ianya juga telah didedahkan melalui media seperti Berita Harian dan lain-lain.

11. Seorang peneroka, En Hashim bin Anon, Felda Raja Alias 4, Jempol, Negeri Sembilan telah menjadi peneroka selama 25 tahun. Beliau telah selesai membayar hutang sejak tahun 2007. Beliau mendapat arahan penyingkiran bertarikh 14 Jun 2009 atas kesalahan menjual getah sekerap ke Luar Rancangan. Beliau telah membuat rayuan dan diterima semula oleh Felda. Sepanjang tempoh penyingkiran, pendapatan beliau di masuk dalam akaun Felda iaitu Mei 2009 hingga Februari 2010. Beliau telah membuat tuntutan atas pendapatan tersebut, tapi masih gagal hingga ke hari ini. Bersama-sama beliau ada lagi 6 orang peneroka yang disingkir kerana tidak mastautin dan membuat tuntutan serupa tapi mengecewakan.

12. Seorang peneroka, Mohamed@Mahmod bin Jasa, Kad Pengenalan 461117-06-5257 menjadi peneroka Felda Melati Jengka 11 mulai tahun 1975. Beliau difitnah kononnya tidak mastautin kerana bekerja di Luar Rancangan bagi mendapatkan pendapatan sampingan. Disingkirkan daripada Felda sekitar tahun 1982, rumah beliau dipecah masuk untuk diganti dengan peneroka baru. Beliau menuntut dikembalikan hak sebagai peneroka dan gantirugi hilang pendapatan. Tuntutan beliau puluhan tahun tidak dipedulikan oleh Felda hingga ke hari ini.

13. Seorang peneroka, En Yakob bin Kasmani dari Felda Sg Kemahal, Bentong, Pahang telah menerima penyata pendapatan dari Felda bagi bulan Mei 2009 dengan tunggakan baja berjumlah RM2,000.55 dan tunggakan upah baja RM448.16. Apa yang menjadi tandatanya ialah kerana beliau mengusahakan sendiri kebun beliau dan membeli baja tidak melalui Felda. Beliau juga membaja sendiri dan tidak berurusan dengan Felda menggunakan khidmat buruh. Kes beliau dikongsi bersama ramai peneroka lain dan melibatkan sejumlah wang yang besar. Beliau telah membuat laporan polis atas dakwaan penipuan dan penyelewengan.

14. Generasi Kedua Felda Air Hitam, Kluang Johor telah memohon mendapatkan tanah lot tapak rumah sejak tahun 2005. Pada tahun 2007, mereka yang berjaya memperolehinya di arah oleh Pentadbir Tanah Daerah Kluang untuk membayar cukai, premium, upah ukur, batu sempadan dan lain-lain lebih daripada RM4,000 seorang. Bayaran telah dibuat. Persoalannya, mereka sendiri tidak mendapat gambaran jelas di mana lot tanah mereka dan sejauh mana projek rumah generasi kedua berjalan. Kes mereka telah dirujuk kepada SPRM Johor Bharu.

15. Badan Bertindak Hak Asasi Persatuan Penduduk Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor telah membangkitkan beberapa isu penting. Antaranya:-

A. Terdapat 44 orang peneroka tambahan yang menyertai Felda sejak tahun 1983 tidak mendapat tambahan 2 ekar untuk mencukupkan 10 ekar seorang seperti lain-lain peneroka.

B. Seramai 74 orang peneroka tidak mendapat insentif tahunan Felda bagi tahun 2007, 2008 dan 2009. Tiga kali perbincangan dengan pengurusan Felda dibuat tapi gagal mendapatkannya.

C. Ahli Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Rancangan terdiri daripada peneroka yang berusia 70 tahun ke atas. Wakil belia hanya seorang dan disisihkan sebab memberi pandangan yang dilihat kritis. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kemajuan Felda Gedangsa begitu lembab.

D. Status tanah tambahan dua ekar peneroka asal(bukan peneroka tambahan) yang diberi sejak tahun 1975 masih kekal getah walaupun telah ditukar kelapa sawit(tanam semula tahun 1985).

E. Bayaran minyak isirong kelapa sawit hanya diterima sebanyak RM300.00 sahaja iaitu RM150 pada bulan Dis 2009 dan RM150 pada bulan Jan 2010. Bayaran terlalu rendah walhal harga komoditi sentiasa meningkat.

16. Parlimen Bera, Pahang terdapat 19 penempatan Felda Plantation di sekitar Bera Selatan, Triang, Mengkarak dan Tembangau. Mereka mengadu dilayan seperti buruh yang hanya mendapat upah sekitar RM25 setan tanpa gaji pokok. Bekerja sekurang-kurangnya 8 jam sehari, tiada pegawai perubatan oncall, tiada tapak rumah setelah tamat berkhidmat, tiada apa-apa insentif kepada anak pekerja dan bergantung kepada kudrat sewaktu muda semata-mata tanpa jaminan masa depan seperti peneroka Felda. Kes ini telah acapkali dipaparkan dalam media, namun respon Felda begitu dingin. TV 3 telah membuat liputan khas di Felda Triang 2. Terdapat 367,710 hektar kawasan Felda plantation seluruh negara.

17. Penduduk di Felda Bukit Besar, Kulai, Johor telah banyak kali mendesak agar dipindahkan Kilang Kelapa Sawit Felda Bukit Besar yang beroperasi dalam kawasan perumahan. Laporan telah di buat kepada Jabatan Alam Sekitar Johor Bharu dengan bukti yang dilampirkan sekali. JAS telah mengambil tindakan termasuk kompaun telah dikeluarkan kerana kesalahan-kesalahan yang antaranya menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan penduduk. Malangnya, kilang tetap beroperasi di situ dan tiada tanda-tanda akan dipindahkan.

18. Puan Noor Asmah bt Ismail, kini tinggal di No 21 Taman Desa Ria, Bentong adalah anak peneroka Felda Chemomoi. Bapanya, Ismail bin Omar meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 23.2.1980. Pn Asmah adalah anak daripada isteri pertama bersama dua beradik yang lain. Bapanya berkahwin lain di Felda Chemomoi dan beroleh 5 orang anak dari isteri kedua. Beliau membantah kenapa harta pusaka berpindah kepada isteri kedua tanpa anak-anak daripada isteri pertama dimasukkan. Perbicaraan menuntut hak di buat di Pejabat Daerah Bentong tetapi gagal kerana kesilapan berpunca daripada kecuaian pengurusan Felda.

19. Peneroka peringkat 2 Felda Nitar 2, Mersing, Johor tidak berpuashati dan marah kerana projek Tanam Semula yang berjalan mulai bulan Jun 2009 tidak mengikut jadual. Kerja-kerja menanan anak benih yang terlalu lewat, bekalan anak benih sawit yang tidak mencukupi dan benih kacang tutup bumi yang tidak terkawal hingga kawasan menjadi semak samun.

En Abd Rahman Kamin, Osman Parman dan Zaidi Basiron yang mewakili peneroka mohon siasatan dibuat terhadap tapak semaian anak benih sawit dan tapak semaian kacang racun yang tidak terurus. Apa yang menyedihkan anak benih terpaksa di bawa daripada luar seperti Besut, Nenasi dan Keratong sedangkan tapak semaian ada depan mata. Kos tentu berlipat ganda dan peneroka yang akan menanggungnya. Kes telah di dedah dalam media; laporan SPRM di Mersing telah dilakukan. Respon Felda mengecewakan.

20. Peneroka Felda Lembah Klau, Raub Pahang tidak berpuashati dengan kadar pampasan yang di nilai kerajaan kerana projek Empangan Bekalan Air ke Selangor. Mereka dipaksa tandatangan bersetuju atas projek dengan syarat boleh membantah pampasan yang diberikan. Malangnya bantahan mereka tidak dipedulikan. Apabila ada sebahagian penduduk masuk ke ladang untuk menuai BTS, mereka ditangkap dan di lokap di Balai Polis Raub. Mereka kehilangan segala-galanya. Pengurusan Felda tidak menyebelahi peneroka sebaliknya bersekongkol dengan kontraktor yang mengeluarkan BTS; sedangkan persoalan pampasan belum selesai.

Disediakan oleh,

MAZLAN BIN ALIMAN

Presiden ANAK

29 November 2010

Borang Kaji Selidik Tanam Semula Peneroka



BORANG KAJISELIDIK PENEROKA FELDA

NAMA : ………………………………………………………….……..............

NO I/C : ………………………………………………………….…………......

ALAMAT : ………………………………………………………………………...

………………………………………………………….…………......

………………………………………………………….…………......

NO TELEFON : (H/P) .......................................... (R) ..........................................

1. PENGURUSAN LADANG {sila tandakan / pada ruang yang berkenaan}

SERAH KEPADA FELDA

USAHAKAN SENDIRI

2. CARUMAN TANAM SEMULA (RM 17,000) {sila tandakan / pada ruang yang berkenaan}

TELAH DITERIMA

BELUM DITERIMA

3. NILAI (RM) YANG TELAH DITERIMA

4. BAKI (RM) YANG DITUNTUT

5. LAIN-LAIN TUNTUTAN / CADANGAN / PERMASALAHAN

TANDA TANGAN

..........................................

Rabu, 10 November 2010

KENYATAAN MEDIA



Kerajaan digesa untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Bebas mengkaji semula peranan agensi pembangunan tanah dalam negara ini setelah ianya wujud begitu lama. Sebagai contoh, Felda telah ditubuhkan pada tahun 1956 manakala Felcra tahun 1966. Manakala Risda, Kesedar, Ketengah, Kejora dan lain-lain juga telah wujud lebih 25 tahun lalu.

Agensi yang menempatkan hampir 100 peratus orang melayu dan mendapatkan peruntukan begitu besar;dilihat telah tersasar dari matlamat asal untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Pengkorporatan Felda pada tahun 1990 dengan kewujudan Felda Plantation seluas 364 ribu hektar telah mengundang kontroversi apabila keuntungannya tidak diisytiharkan dan menjadi tanda tanya. Adalah dipercayai aset Felda Plantation yang berjumlah berbilion ringgit tidak banyak memberi faedah kepada warga peneroka; sebaliknya membuka ruang para kroni pemimpin tertentu membuat kekayaan berlipat kali ganda melalui pelbagai projek yang ditawarkan.

Techno Plant Sdn Bhd, anak syarikat Felda yang bertanggungjawab mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan kebun peneroka di seluruh negara; wujud semata-mata memenuhi kehendak segelintir bekas pengarah-pengarah Felda dan pemimpin tertentu yang mengambil untung 'atas angin' daripada tanah peneroka. Hubungan intim antara pengurusan Techno Plant dengan kontraktor telah digunakan sepenuhnya merebut segala peluang yang ada termasuk kerja-kerja tanam semula dengan kos lebih mahal daripada syarikat perladangan swasta seperti IOI dan Sime Darby.

Di kala para kroni kaya raya; tuan punya kebun iaitu para peneroka menderita dengan bebanan hutang piutang, deretan potongan tidak munasabah, perjanjian yang sangat berat sebelah dan cengkaman Akta GSA 1960 yang zalim.

Tatkala 112,635 peneroka felda dibelenggu masalah di sana sini; 92,000 peserta Felcra lebih teruk lagi. Walaupun telah wujud sejak tahun 1966 dan di korporatkan pada tahun 1997; kehidupan mereka lebih sengsara. Pendapatan bulanan yang sangat kecil, dividen yang terlalu rendah serta kos pembangunan tanam semula yang melampau menjadi isu paling hangat ketika ini. Janji asal ketika mula memajukan tanah peserta sangat menarik. Realitinya indah khabar dari rupa. Bila ada peserta yang sedar dan mahu mengambil semula tanah mereka; ugutan hutang piutang untuk menakutkan peserta dilakukan. Jumlahnya sangat menakutkan...ada yang sampai RM70,000!

Berpuluh penyelewengan dikumpul dan dikenalpasti melibatkan ratusan juta ringgit bukan fitnah untuk memburukkan pengurusan agensi-agensi terlibat. Pendedahan yang dilakukan bukan bertujuan mengaibkan sesiapa. Inilah caranya membantu kerajaan mengenal pasti segala kepincangan, kelemahan, salah guna kuasa dan rasuah untuk tujuan pencegahan. Laporan polis, SPRM, Suhakam dan memorandum yang dibuat untuk mendesak siasatan dibuat dengan hasrat untuk menyelamatkan institusi orang melayu yang bermasalah. Mungkin dakwaan ini sangat keras. Tapi pengalaman turun padang lebih 15 tahun; wajah hodoh sesetengah peneraju agensi pembangunan tanah ini tidak boleh diselindung lagi!

Sedihnya... mereka seagama dan sebangsa dengan kita; tergamak mengkhianati kepercayaan rakyat marhaen.

Serius sangatkah hingga perlu ditubuhkan Suruhanjaya Bebas?
Jawabannya, Ya dan sangat mendesak. Itu pun jika tidak mahu lebih banyak wang rakyat lesap dan lenyap!
Apa buktinya?
Sebahagiannya telah didedahkan dan akan terus dibongkar.

Bagi memenuhi kehendak rakyat agar ada platform bagi memperjuangkan hak rakyat; maka ditubuhkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK). Insyaallah, Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan(BAPAK) akan dilancar secara resmi pada 26 disember ini di Ipoh, Perak. Ketika ini, Alumni Bekas Kakitangan Felda juga telah ditubuhkan yang menggabungkan bekas kakitangan Felda seluruh negara.Sekretariat Bertindak Isu Felda(TINDAK) yang dipengerusikan YB Salahudin Ayub sedang menjelajah ke seluruh negara bertemu warga Felda. Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah pada 24 Oktober lalu di Sandakan yang di hadiri hampir 3000 penduduk Sabah pelbagai suku kaum dan agama telah menggariskan resolusi menangani kes rampasan tanah rakyat yang semakin bermaharajalela.

Semua ini adalah tanda komitmen bersepadu membantu rakyat jelata. Majlis 'Makan Malam Rakyat Marhaen' bakal menghimpunkan 5000 rakyat terdiri daripada para peneroka, peserta felcra,penduduk luarbandar dan wakil Sabah/Sarawak pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur adalah lambang kerja keras seluruh jentera Pakatan Rakyat dan Ngo bergerak aktif menangani isu-isu marhaen. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah mengesahkan hadir bagi mendokong komitmen bersama. Sejumlah wang yang banyak sangat diperlukan untuk menampung program bertali arus melalui majlis makan malam ini. Maklumat lanjut boleh hubungan pengarah program- Hj Zulkifli Muhammad Omar, 0192818816 atau Sdr Yohanis 0133039913.


Mazlan bin Aliman
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan(ANAK)
0137130103

Khamis, 14 Oktober 2010

Ahmad Maslan hina peneroka!


' Felda bukan tak mau bayar wang tanam semula kepada peneroka; tapi tak mau wang itu disalahguna. Peneroka beli motor, repair rumah. Nanti kebun jadi hutan. Saya tengok sendiri kebun peneroka penuh babi hutan, penuh ular sawa, banyak tikus. ada kumbang merosakkan kebun sekitar.' antara kata-kata Datuk Ahmad Maslan,; sebab kenapa Felda enggan membayar wang tanam semula RM17,000 kepada peneroka yang mengusahakan kebun mereka secara persendirian.

Sidang media di Parlimen bertarikh 11 Oktober, saya telah membuat kenyataan agar beliau menarik balik dakwaan tersebut yang menghina peneroka. Beliau tiada respon. Saya telah menghantar sms kepadanya mengulangi desakan tersebut. Responnya ada tapi dia enggan berbuat demikian.

Laporan polis dibuat terhadap Ahmad Maslan dilakukan pada 14 Oktober di IPD Seremban atas penghinaan yang tidak seharusnya diungkapkan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda.

Hampir 50 orang peneroka mengiringi wakil mereka membuat laporan polis. Turut hadir Hj Zulkefly Mohamed, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, YB Taufeq Abd Ghani dan pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.

Wang Tanam Semula di carum selama 20 tahun oleh peneroka dengan kadar RM40 sebulan. Penafian wang ini telah dibawa 10 orang peneroka Sg Koyan 2 dan 3 di Mahkamah Tinggi Kuantan. Hakim Dato' Marianna Yahya telah mengisytiharkan kemenangan atas tuntutan peneroka. Ahmad Maslan tidak wajar berdolak dalik lagi.

Berikan segera wang tanam semula milik peneroka!

Ahad, 26 September 2010

Pemimpin UMNO tertutup


Pemimpin UMNO selalu mendakwa mereka pejuang bangsa dengan slogan tradisi membela rakyat. Mereka mencemuh PAS sebagai kumpulan radikal dan memisahkan diri dari masyarakat.

Bila ada sekumpulan ahli-ahli UMNO bertemu dengan saya mengenai isu Felda, saya bersedia membantu mereka. Saya tanya mengapa UMNO tak bantu mereka; mereka kata UMNO tak boleh lawan Felda dan Kerajaan. Kena tindas macamana pun kena akur.

Pemimpin UMNO di cawangan minta saya ketepikan sentimen kepartian untuk tolong peneroka felda. Saya setuju dan itulah keterbukaan PAS. Mereka nak anjurkan majlis hariraya dan nak jemput saya berucap bersama-sama Ahli Parlimen Bera, Dato' Seri Ismail Sabri.
Ada sesi dialog lepas ucapan. Jangkanya 25 Sept lalu program nak dibuat. 6 ekor lembu nak ditempah untuk makan lebih daripada seribu orang.

Saat akhir program dibatalkan. Saya dan orang PAS dah bersedia untuk hadir. Sebabnya kerana ada pemimpin UMNO tak mahu saya hadir dalam majlis berkenaan. Yang kecewa bukan saya tapi ramai orang UMNO yang mahu saya datang dan memberi pandangan tentang isu felda yang menjadi masalah kepada warga felda.

Saya maklumkan kepada peneroka UMNO yang kecewa, ANAK berjuang untuk semua. Mereka kata kita penghasut dan penyebar fitnah. Mereka sebarkan risalah dan tulis dalam majalah felda yang menyerang peribadi. Saya ajak Ahmad Maslan debat dia tak mahu. Ismail Sabri tak tahu apa-apa pasal isu felda sebab dia sendiri pun pening jaga kementerian yang ada.

Rupa-rupanya pemimpin UMNO yang tertutup. lebih teruk daripada katak dalam tempurung. Berani hentam jauh-jauh tapi takut berdepan. Itulah kisah di Felda Purun tanggal 25 Sept lalu. Kesian UMNO Purun!

Hari Terbuka PAS Bera meriah

Lazimnya seperti tahun sebelumnya, 25 Sept lalu PAS Kawasan Bera menganjurkan Hari Terbuka Aidilfitri di Darul Ikhwan. Ia tetap meriah dengan juadah yang sangat menyelerakan. Sdr Hanipa Maidin, AJK PAS Pusat, Abd Rahman Ramli, Ketua Penyelaras saman felda Gugusan Serting, Hasanudin Salim, Ketua Penerangan PAS Pahang, Aris Fesol Ismail, Naib Presiden ANAK dan YB Leong Ngah-Ngah antara yang hadir.

Komitmen Pakatan Rakyat untuk mendokong aspirasi bersama bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 sangat jelas dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dalam sambutan kali ini. Sokongan kaum cina yang konsisten dan peningkatan kesedaran peneroka felda adalah isyarat menarik bahawa PRU ke 13 BN akan rebah.....

Sayonara Barisan Nasional!